Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.

Pengurusan air: swasta atau kerajaan?


Oleh Wan Saiful Wan Jan

16 Ogos 2009

Minggu ini (16 – 22 Ogos 2009) ialah Minggu Air Antarabangsa. Tema sambutan kali ini ialah “Membekalkan air untuk kebaikan semua”. Pelbagai siri seminar dan ceramah dianjurkan sepanjang minggu ini oleh Institut Air Antarabangsa di Stockholm untuk menganalisa isu ini daripada perspektif global.

Untuk meraikan Minggu Air Antarabangsa kali ini, Malaysia Think Tank menerbitkan satu buku dalam Bahasa Inggeris bertajuk “Water Provision in Malaysia: Privatise or Nationalise?” (Pembekalan Air di Malaysia: Swasta atau Kerajaan?”), dengan sokongan daripada sebuah badan pengkaji antarabangsa yang berpusat di London, International Policy Network.

Buku ini mengandungi esei-esei yang menceritakan pengalaman negara lain dalam urus tadbir air, dan apa yang boleh negara kita pelajari daripada pengalaman mereka. Ia boleh diperolehi dengan percuma daripada laman web kami www.WauBebas.org.

Kami menerbitkan buku ini dengan tujuan untuk menjelaskan bahawa apa-apa dasar awam mestilah diputuskan setelah kita menilai faedah dasar tersebut kepada rakyat. Apabila memutuskan dasar air negara, para pembuat dasar mestilah mengenepikan agenda peribadi, politik atau ideologi mereka.

Ini amat penting bagi sumber seperti air. Isu terpenting ialah bagaimanakah caranya untuk memastikan air dapat dibekalkan dengan efisyen dan dengan nilai yang paling baik untuk wang yang dibayar oleh pengguna. Sudah pasti kita mahu memberikan pengguna air hak untuk menukar pembekal jika mereka membayar harga yang tinggi tetapi kualiti perkhidmatan yang mereka terima adalah rendah.

Apabila berbicara mengenai pengurusan sumber air, golongan sosialis berhaluan kiri di Malaysia sering memomokkan kita dengan pandangan-pandangan yang anti sektor swasta. Tanpa mereka sedari, pandangan mereka jarang sekali berdasarkan fakta, tetapi lebih banyak dipengaruhi oleh sentimen dan ideologi.

Memang benar bahawa agenda penswastaan yang pernah kita lalui di Malaysia semasa era Tun Mahathir ada cacatnya. Tetapi ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menyokong mereka yang anti-swasta. Apa yang perlu kita lakukan ialah belajar daripada pengalaman era Tun Mahathir dan memperkenalkan dasar yang lebih baik.

Penswastaan yang tulin dilakukan untuk mencipta persaingan dalam pasaran dan menghalang badan tertentu membolot semua kekayaan melalui monopoli. Penswastaan yang pernah berlaku di Malaysia melalui Dasar Persyarikatan sebelum ini tidak berjaya mencipta persaingan yang diidamkan oleh pemimpin negara kita.

Pelbagai perjanjian dan hak istimewa yang diberikan kepada syarikat tertentu menyebabkan monopoli tidak terhapus. Sebaliknya, walaupun penswastaan era Tun Mahathir bertujuan untuk mencipta persaingan dalam sistem pasaran yang lebih terbuka, apa yang terhasil hanyalah pemindahan monopoli daripada kerajaan kepada beberapa syarikat tertentu. Ini bukan visi Dasar Persyarikatan era Tun Mahathir, dan kelihatannya Dato Seri Najib sedang cuba menambahbaik agenda tersebut.

Pengalaman kita dengan penswastaan sebelum ini mungkin menyebabkan ada yang fobia dengan penswastaan dan liberalisasi. Apatah lagi jika kita bercakap mengenai liberalisasi industri air negara. Saya berkongsi kebimbangan ini, jika kita hanya bercakap mengenai penswastaan dengan acuan yang sama.

Bagaimanapun, seperti yang dilakarkan dalam buku yang baru kami terbitkan, tiada apa yang perlu kita takutkan dengan liberalisasi dan penswastaan, tarmasuklah untuk industri air. Melalui liberalisasi dan penswastaan, rakyat akan diperkuasa untuk membuat pilihan sendiri.

Esei pertama dalam buku kami menceritakan mengenai pengalaman di Bolivia. Negara itu meliberalisasikan industri air mereka pada penghujung 1990-an, tetapi usaha itu gagal. Esei ini menceritakan sebab sebenar kenapa proses itu gagal, dan kenapa percubaan golongan sosialis berhaluan kiri untuk menjadikan Bolivia sebagai rujukan mengenai bahaya penswastaan air adalah salah.

Esei kedua pula membicarakan mengenai situasi di Chile. Industri air di negara itu dijalankan oleh pihak swasta. Hasilnya, sejak industri air diliberalisasikan, perkhidmatan air di situ telah menjadi lebih baik dan rakyat menikmati banyak faedah.

Esei ketiga pula ialah mengenai betapa kempen tidak bertanggungjawab ideolog anti-swasta akhirnya menyusahkan rakyat termiskin. Para ideolog ini mendakwa mereka mereka bercakap bagi pihak orang miskin tatkala melawan syarikat yang mahu masuk dalam industri pembekalan air. Tetapi sebenarnya tiada hasil yang positif lahir daripada kempen mereka ini.

Dalam buku tersebut, saya pula menulis bahawa kita di Malaysia mestilah tidak terperangkap dalam debat sia-sia mengenai sektor swasta melawan sektor awam. Apa yang penting ialah bagaimana untuk menjaga kepentingan rakyat dan memastikan kualiti air kita sentiaa tinggi.

Apa yang kita perlukan di Malaysia ialah liberalisasi industri air agar wujud persaingan sihat. Kita memerlukan lebih daripada satu pembekal air beroperasi supaya wujud persaingan untuk membekalkan yang terbaik dan harga yang termurah. Kita sebagai rakyat perlu diberi pilihan daripada siapa kita mahu membeli air untuk kegunaan harian, bukan dipaksa mengikut selera ahli politik sahaja.

Liberalisasi pasaran yang diriingi oleh persaingan dan pilihan jelas sekali amat baik untuk rakyat. Golongan sosialis dan korporat besar biasanya tidak mahu persaingan kerana mereka hanya mahu menjaga periuk nasi mereka sahaja. Monopoli mereka perlu dihapuskan demi kebaikan rakyat seluruhnya.

Dalam rangka menyusun semula ekonomi negara kita, Dato Seri Najib sering menjelaskan bahawa kita memerlukan sistem ekonomi yang lebih terbuka. Wawasan Dato Seri Najib perlu kita sokong. Ekonomi liberal boleh mengurangkan rasuah dalam negara dan memperbaiki kualiti perkhidmatan untuk rakyat. Inilah juga prinsip yang perlu diamalkan dalam industri air kita.

Sempena Minggu Air Antarabangsa 2009, marilah kita sama-sama melihat kembali bagaimana industri air negara boleh disusun semula. Saya harap sumbangan kecil kami melalui buku ini boleh membantu negara.

------

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua Pengarah Malaysia Think Tank. Sila muat turun buku “Water Provision in Malaysia: Privatise or Nationalise?” di sini. Artikel ini telah di siarkan oleh Utusan Malaysia (19 Ogos 09)

<!--Tiandaocn.org-->