Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.
Wakil rakyat dan wang rakyat
Oleh Wan Saiful Wan Jan
28 Mei 2009
Parlimen Westminster sedang dilanda krisis gara-gara ada wakil rakyat yang rakus membelanjakan wang rakyat.
Sistem parlimen Britain membolehkan wakil rakyat menerima gaji tetap beserta elaun-elaun tertentu. Gaji tetap mereka tidak terlalu tinggi, iaitu sekitar £65,000 setahun. Selepas ditolak cukai pendapatan dan lain-lain potongan, gaji bulanan mereka mungkin menjadi sekitar £3700 sahaja.
Tetapi mereka menerima banyak elaun tambahan. Contohnya, mereka boleh menuntut sehingga £100,000 setahun untuk menggaji pekerja, elaun perhubungan sehingga £10,000 setahun, elaun perbelanjaan sehingga £22,000 setahun, dan elaun penempatan sehingga £24,000 setahun. Ada lagi beberapa jenis elaun yang juga boleh mereka manfaatkan.
Wakil rakyat yang menjawat jawatan rasmi pula ada yang mendapat gaji lebih tinggi. Secara kasarnya, gaji Perdana Menteri Britain ialah £195,000 setahun. Menteri-menteri kabinet dan Speaker Dewan Rakyat pula mendapat gaji sebanyak £142,000 setahun.
Pembangkang diiktiraf sebagai elemen penting dalam sistem demokrasi berparlimen di sini. Sikap ini mudah difahami kerana apa faedahnya Britain mempunyai parlimen untuk mengimbangi kerajaan jika peranan pembangkang tidak dihargai?
Dengan pengiktirafan itu, maka Ketua Pembangkang mendapat gaji yang hampir sama dengan menteri kabinet iaitu £142,000 setahun. Ketua Whip Pembangkang pula mendapat gaji £104,000 setahun.
Setelah ditolak cukai pendapatan dan lain-lain potongan, sebenarnya gaji ini tidaklah terlalu tinggi. Tidak ada sesiapa yang mempersoalkan gaji wakil rakyat Britain. Krisis yang sedang dihadapi sekarang ialah mengenai jumlah tuntutan perbelanjaan yang telah menjadi di luar kawalan.
Krisis ini bermula dengan pendedahan oleh akhbar Daily Telegraph. Telah hampir tiga minggu berturut-turut pendedahan dibuat, dan akhbar itu tidak memilih parti mana yang akan “diserang”.
Perbelanjaan Perdana Menteri Gordon Brown merupakan antara yang pertama didedahkan oleh akhbar tersebut. Antara lain, beliau dilaporkan menuntut sebanyak £650 untuk makanan, £83 untuk bil telefon, £1403 untuk membersihkan rumah, £90 untuk membaiki rumah, dan £108 untuk bayaran sewa bulanan pakej televisyen satelit.
Seorang menteri kanan iaitu Menteri Kewangan, Alistair Darling, dilaporkan menuntut £2000 untuk membeli perabot, £2000 lagi untuk membeli karpet baru, dan £300 sebulan untuk makanan. Beliau juga menuntut £1200 untuk membayar cukai pintu kediamannya.
Sementara itu, Menteri Luar David Miliband pernah menuntut £412 untuk membeli sebuah kerusi dan selimut, £450 untuk membeli sofa, mesin basuh dan pengering, serta £9000 untuk memperbaiki dapur rumah.
Ini tidak termasuk perbelanjaan yang jauh lebih besar untuk membayar kos rumah kedua mereka. Ada wakil rakyat yang menuntut puluhan ribu untuk kos itu.
Setakat ini perbelanjaan lebih 200 orang wakil rakyat telah didedahkan. Dan dijangka akan lebih banyak lagi pendedahan dibuat. Britain mempunyai 646 orang wakil rakyat.
Krisis ini menjadi begitu serius sehingga Speaker Dewan Rakyat dipaksa meletak jawatan minggu lepas. Ini merupakan kali pertama sejak lebih 300 tahun Speaker dipaksa meletak jawatan. Ramai juga yang mengatakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan krisis ini ialah dengan membubarkan Dewan Rakyat agar pilihanraya dijalankan lebih awal untuk membolehkan mereka yang tidak beretika dikeluarkan.
Saya melihat ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari daripada krisis di Britain ini.
Pertama, wang yang digunakan untuk menampung kos wakil-wakil rakyat sebenarnya adalah wang rakyat. Rakyat mesti mengambil tahu ke mana wang kita dibelanjakan. Membiarkan wakil-wakil rakyat membelanjakan wang kita sewenang-wenangnya merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab.
Untuk mengelakkan kita menghadapi masalah yang sama, Parlimen kita mestilah telus. Penyata tahunan perlu dikeluarkan untuk menggariskan secara teliti jumlah perbelanjaan setiap seorang ahli parlimen yang dibayar oleh wang rakyat. Had perbelanjaan, gaji dan elaun setiap ahli parlimen mesti dinyatakan dengan jelas.
Saya rasa di keluarga di raja Britain lebih telus daripada wakil rakyat di sini. Akaun pendapatan dan perbelanjaan tahunan keluarga di raja Britain boleh diperolehi secara terbuka sejak beberapa tahun lepas. Mungkin institusi raja di Malaysia boleh mengorak langkah yang sama dan menunjukkan kepimpinan, seperti yang telah dibuat oleh keluarga di raja Britain.
Pengajaran kedua yang boleh kita teladani ialah bagaimana wakil rakyat Britain begitu menghormati adab Dewan mereka.
Sejak minggu pertama pendedahan dibuat, telah ada wakil rakyat yang mahu Speaker meletak jawatan. Kritikan terhadap Speaker memuncak pada minggu kedua. Malahan salah seorang wakil rakyat berjaya mengumpul cukup tanda tangan untuk memulakan undi tidak percaya terhadap Speaker.
Tetapi, walaupun wujud rasa tidak puas hati yang ketara terhadap Speaker, wakil-wakil rakyat Britain tetap berakhlak. Mereka mengikut prosedur Dewan dan tidak bertindak tanpa kebenaran Speaker. Selagi mana Speaker tidak membenarkan undi tidak percaya dibahaskan, selagi itulah mereka menerima hakikat bahawa beliau terus memegang jawatan tertinggi dalam Dewan itu. Tidak ada sesiapa yang mencemar maruah Dewan dalam usaha mereka membuang Speaker.
Satu lagi pengajaran penting ialah mengenai peri pentingnya urusan politik diselesaikan dalam Dewan juga. Walaupun krisis yang melanda parlimen di sini amat serius, tidak ada wakil rakyat yang mahu membawa kes ke mahkamah atau merujuk kepada Ratu Elizabeth atau Putera Charles.
Ratu Elizabeth dan Putera Charles dihormati dunia kerana mereka meletakkan diri mereka di atas urusan politik harian. Tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham walaupun krisis politik teruk yang sedang melanda memberi impak terhadap sistem pemerintahan Britain.
Rakyat Britain juga faham ketinggian dan kemuliaan institusi raja mereka. Tidak ada sesiapa pun mencadangkan agar istana Buckingham dirujuk untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin itulah rahsia kenapa institusi raja Britain terus dihormati dan terus kekal selama ratusan tahun.
------
Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org) yang kini menetap di London. Artikel ini disiarkan dalam oleh akhbar Utusan Malaysia pada 27 Mei 2009

