Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.

Mendalami Erti Kebebasan


Bersama lebih 30 peserta yang menyertai Akademi Merdeka anjuran the Malaysia Think Tank (MTT) di Georgetown, Pulau Pinang pada 1 hingga 3 Mei lalu, banyak yang saya pelajari mengenai betapa baiknya jika kita mendukung kebebasan dan rasa tanggung jawab serta memperjuangkan hak individu tanpa campur tangan kerajaan atau pemerintah.

Bukan hasil wacana dan perbicangan itu sahaja yang menambah ilmu kita yang tak seberapa ini, malah kekuatan seminar itu adalah kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang; yang muda dan tua, yang pelajar dan bekerja serta berniaga; malah dari pelbagai kaum, agama dan pegangan politik.

Ada juga rakan-rakan peserta dari Parti Keadilan Rakyat, Gerakan, PAS dan DAP yang memang berbeza ideologi tetapi penyatuan hati setiap individu yang menghadiri semua sesi adalah hasrat ingin melihat tugas dan tanggung jawab individu dilaksanakan dengan bebas tanpa kekangan pihak berkuasa.

Sememangnya ada peserta yang masih takut dengan konsep kebebasan kerana kita sudah terlalu lama didodoikan dengan syair kerajaan itu adalah seperti ibu bapa yang tahu apa yang baik serta buruk untuk kita. Sedangkan apabila ini berlaku – semata-mata ingin mengelakkan tanggung jawab diri – kerajaan akan mengambil alih soal hidup kita.

Dalam konkongan kerajaan di Malaysia, saya tetap yakin bahawa jika kita mahu “bebas”, harus ada jaminan untuk hak bersuara, kebebasan berekspresi dan kebebasan media serta hak-hak kebebasan beragama, berpolitik dan berfikir tanpa takut dihalang oleh kerajaan, undang-undang atau penentang kebebasan.

Bagi saya, fungsi kerajaan adalah untuk semata-mata untuk menjaga hak dan keselamatan kita. Jika kita “malas” untuk mengamalkan hak-hak kebebasan ini, jangan salahkah kerajaan yang pasti akan mengambil kesempatan untuk menawarkan diri bagi pihak kita. Apabila ini berlaku, ia bererti kita sudah menggadaikan kebebasan kita kepada kerajaan.

Pemikir abad ke-19 dari Perancis Frederic Bastiat telah menyatakan bahawa kita semua ingin hidup ditanggung oleh kerajaan tetapi kita lupa yang kerajaan yang sebenarnya mahu hidup ditanggung oleh rakyat.

"Everyone wants to live at the expense of the state. They forget that the state wants to live at the expense of everyone."

Di sini nampak kaitan dan perbezaan jelas di antara kebebasan dan kerajaan - bukan kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat; bukan kerajaan Demokrat atau Republikan; bukan kerajaan Konservatif atau Buruh - tetapi kerajaan dalam konteks pemerintah dan alat-alat pemerintahannya seperti kementerian, agensi kerajaan, polis, tentera, lembaga cukai dan sebagainya.

Jika kita gagal memahami dan menerima prinsip asas kebebasan, kita akhirnya akan terjebak dengan keadaan di mana kerajaan menentukan apa yang baik dan buruk untuk kita. Dengan itu kita hanya penerima yang pasif dan mengikut sahaja.

Negarawan Amerika pada abad ke-18 Benjamin Franklin telah menyatakan bahawa mereka yang mahu mengetepikan kebebasan demi untuk mendapatkan perlindungan, tidak akan mendapat atau tidak patut mendapat salah satu darinya.

“Those who desire to give up freedom in order to gain security will not have, nor do they deserve, either one”

Malah tidak mengejutkan lagi jika kedua-duanya – kebebasan dan perlindungan keselamatan – tidak akan diperolehi sama sekali. Ini kerana apabila kebebasan digadaikan kepada pemerintah, perlindungan yang diharapkan tidak akan datang kerana kita sudah berada di bawah telunjuk orang yang memerintah kita.

Terima kasih kepada penceramah jemputan Dr Tom G. Palmer, Dr Doug Den Uyl dan Mustafa Akyol yang membawa pelbagai perspektif untuk memahami dan menangani isu semasa berasaskan prinsip kebebasan yang saya lihat sebagai fitrah manusia.

Lebih dari itu, ucapan tahniah buat Wan Saiful Wan Jan yang menjadi peneraju MTT kerana berjaya buat kesekian kalinya membawa rakyat Malaysia selangkah lagi mendekati prinsip kebebasan yang sering diketepikan setiap kali kita menghadapi kemelut di negara ini.

Sememangnya ramai di kalangan kita inginkan kebebasan tetapi hati masih takut untuk menerimanya. Apatah lagi jika kebebasan itu menjadi teras kepada pasaran bebas di mana peranan dan kuasa pemerintah serta negara (state) hampir tidak diperlukan sama sekali.

Kami sebagai peserta turut diperkenalkan dengan karya-karya pemikir kebebasan Amerika Ayn Rand terutama karya agung beliau Atlas Shrugged yang mempamerkan ketinggian budi serta kekuatan individu di samping menggalakan semangat keusahawanan di semua peringkat.

Mungkin ada yang akan menjuihkan bibir apabila mendengar istilah pasaran bebas tetapi sebagai orang yang faham sedikit sebanyak mengenai sosialisme dan fasisme, biarlah saya nyatakan di sini bahawa sejarah dan pengalaman kebanyakan individu telah sekian lama membuktikan bahawa penguasaan negara dalam menentukan kehidupan kita akan tetap berakhir dengan kegagalan.

Malah, sebelum kegagalan menjelma, kehidupan amat perit dan tidak banyak dapat dilakukan untuk mencari jalan keluar kerana negara telah pun menentukan apa yang baik dan buruk untuk kita semua.

Sebagaimana yang pernah saya bincangkan bersama kawan-kawan lain sebelum ini, tetap ada kebenarannya apabila dikatakan bahawa the road to hell is paved with good intentions. Tentunya tidak mengejutkan jika pemuka kebebasan dan pasaran bebas Friedrich Hayek menamakan bukunya The Road to Serfdom yang menghalusi masalah besar apabila ekonomi dirancang dan dikawal - individu dan rakyat hilang segala kebebasan dan hak apabila nasib mereka ditentukan oleh negara.

Wan Hamidi Hamid adalah Penolong Pengarah, Research for Social Advancement (REFSA)

<!--Tiandaocn.org-->