Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.

Memastikan Menteri Bertanggungjawab


Tiga jam adalah masa yang cukup panjang. Kita boleh membaca sajak hebat Dato’ Usman Awang, atau membaca buku terbaru Dato’ Zaid Ibrahim Saya Pun Melayu. Kita boleh menonton Evolusi KL Drift sebanyak dua kali, menyediakan ayam masak kuning untuk 50 orang atau mengharmonikan semula Lagu Kebesaran Negeri Sembilan. Kita boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Miri, berkenu dari Kuala Terengganu ke Pulau Redang, atau memandu dari Singapura ke Seri Menanti. Setidak-tidaknya itulah yang sepatutnya boleh kita lakukan.

Tetapi minggu lepas, saya membazirkan tiga jam tersangkut antara Singapura dan Malaysia di Linkedua. Ya, ianya hari minggu yang panjang untuk Singapura dan rakyat Singapura perlu melalui pemeriksaan imigresen yang ketat sebelum dibenarkan masuk ke negara kita. Tetapi pihak berkuasa imigresen kita seharusnya bersedia untuk cuti panjang itu. Tidak adakah sesiapa di Kompleks Sultan Abu Bakar diberitahu tentang cuti ini? Tidak pernahkah ia berlaku sebelum ini? Saya termenung berfikir sebelum menyertai orang ramai keluar dari kenderaan dan mencari teduhan. Nampaknya rakyat Singapura membuat keputusan merayakan Cuti Easter dengan membelanjakan wang di Malaysia.

Saya menghabiskan waktu selanjutnya dengan membaca maklum balas yang banyak berkaitan perlantikan baru barisan Kabinet Kerajaan Malaysia – ada yang menyambutnya dengan hangat, ada yang berhati-hati dan ada yang menghina. Ada yang mengatakan barisan kabinet ini bukan perubahan besar-besaran. Mungkin boleh dikatakan ia seperti inovasi dalam Fast and Furious 4, tetapi sekurang-kurangnya wayang itu menyatakan slogan yang jelas “model baru, bahagian asal”.

Bagaimanapun, cadangan untuk mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah satu kemajuan yang benar-benar baik. Ia harus ditangani dan dilaksanakan dengan penuh hati-hati. Pernah tinggal di Britain semasa pentadbiran Tony Blair, saya melihat KPI punya masalahnya tersendiri: kita boleh jadi keterlaluan dalam menetapkan sasaran manakala statistiknya boleh dimanipulasikan walaupun sebenar tidak ada sebarang perubahan berlaku. Satu contoh dari UK ialah pesakit dipindahkan ke senarai menunggu dari satu hospital ke hospital yang lain untuk memuaskan KPI masa menunggu.

Secara idealnya, janji manifesto atau pengumuman-pengumuman dasar lain harus menjadi teras KPI yang diperkenalkan. Pemantauan pula seharusnya dilakukan oleh jawatankuasa parlimen yang berkuasa untuk memastikan Menteri melaksanakan tugasnya, berbanding agensi kerajaan yang tidak mungkin punya kelebihan ini. Prosiding jawatankuasa ini juga harus dibuat secara terbuka agar orang ramai boleh mengakses prestasi menteri. Dengan cara ini, keraguan yang meluas di kalangan rakyat dapat diminimakan. Perjalanan kita masih jauh sebelum kita boleh menyaksikan temubual ala Jeremy Paxman, seorang wartawan lagenda BBC yang berani mempersoalkan ahli politik secara terbuka dan menghiburkan – tetapi ianya baik agar ahli politik kita lebih teliti menjalankan tugas.

Saya berpeluang duduk dan berbual dengan beberapa menteri dalam satu istiadat yang bersejarah pada minggu ini dan perbualan kami meningkatkan harapan saya. Saya pernah bercakap dengan Yang Berhormat ini, dan diingatkan bahawa sistem politik kita pernah melahirkan ahli politik yang berkelayakan. Bagaimanapun, sekumpulan mereka ini perlu mengimbangkan kehendak legitimasi yang berbeza dan berkompromi terhadap satu dengan yang lain. Ia boleh menjadi satu ciri penting tanggungjawab bersama kabinet. Ini boleh menjadi satu bonus untuk cadangan KPI: dengan menerangkan kejayaan dan kegagalan secara spesifik setiap individu menteri. Bagi seorang menteri yang cekap, ini adalah situasi menang-menang.

Satu KPI yang saya mahu gesa kepada pemimpin di peringkat negeri ialah tahap kefahaman dan penggunaan hak-hak dan prerogatif mereka. Ada dua perkara yang menunjukkan betapa lemahnya pengamalan persekutuan di negara kita. Pertama ialah penangguhan perlantikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Ketua Menteri Pulau Pinang rela menyerahkan hak tersebut kepada pemimpin di peringkat pusat. Kedua, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu memboikot sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya kembali selepas “diarahkan” oleh Perdana Menteri. Apa pula kena mengenai Perdana Menteri dengan Dewan Undangan Negeri? Dalam negara-negara persekutuan lain, pemimpin-pemimpin negeri akan menuntut hak menentukan urusan mereka sendiri agar kebebasan mereka berdasarkan perlembagaan boleh dipertahankan. Tetapi di negara kita pemimpin negeri nampaknya menerima campurtangan daripada pusat. Ini adalah pembaziran usaha kita pada tahun 1948.

Jika itu tidak boleh dilakukan, apa kata sekurang-kurangnya kita jadikan waktu menunggu di Linkedua sebagai salah satu KPI?

--

Tunku ’Abidin Muhriz ialah Pengarah Malaysia Think Tank.

<!--Tiandaocn.org-->