Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.

Fikirkan masak-masak mengenai gaji minima


oleh Wan Saiful Wan Jan

Terdapat beberapa kumpulan yang menuntut agar Malaysia mewujudkan sistem gaji minima untuk pekerja. Dalam merangka polisi mengenai gaji minima, terdapat beberapa isu yang mesti dipertimbangkan oleh penggubal dasar. Adalah amat penting untuk para penggubal dasar melihat kepada negara-negara yang telah sedia mempunyai sistem gaji minima, dan mengambil pengajaran daripada pengalaman negara-negara tersebut.

United Kingdom adalah satu contoh yang boleh dikaji. Sejak diperkenalkan oleh kerajaan Parti Buruh pada tahun 1999, kadar gaji minima di United Kingdom meningkat setiap tahun. Pada tahun 1999, kebanyakan pekerja yang menerima gaji minima di United Kingdom dibayar £3.60 untuk setiap jam mereka bekerja (terdapat perbezaan kadar berdasarkan umur tetapi kita tidak perlu pergi terlalu mendalam mengenai hal ini). Pada Oktober 2005, kadar ini meningkat menjadi £5.05 sejam. Ini bermaksud mereka yang menerima gaji minima mendapat kenaikan gaji sebanyak hampir 40% dalam masa 6 tahun – satu jumlah kenaikan yang amat signifikan.

Pada bulan Oktober 2007, gaji minima di United Kingdom meningkat menjadi £5.35 sejam. Ini merupakan peningkatan sebanyak 6% - jauh lebih tinggi daripada kadar inflasi. Malahan, bagi kebanyakan pekerja yang bukan menerima gaji minima, kenaikan gaji sebanyak 6% dalam masa setahun tidak lebih daripada satu mimpi sahaja!

Damian Reece, salah seorang editor akhbar Daily Telegraph yang diterbitkan di London menulis satu artikel pendek berkaitan gaji minima di Britain. Menurut beliau, kadar pengangguran di United Kingdom kini adalah pada tahap tertinggi sejak tahun 2002. Kadar pengangguran mempunyai kaitan rapat dengan kewujudan peluang pekerjaan, yang seterusnya juga mempunyai kaitan dengan sistem gaji minima yang diamalkan oleh negara Britain.

Semua pihak maklum bahawa apabila harga sesuatu barangan atau perkhidmatan naik, maka permintaan terhadap barangan tersebut akan menurun. Ini akan menyebabkan penawaran pula meningkat kerana tidak ada pihak mahu (atau mampu) membeli barangan yang mahal. Model penawaran dan permintaan ini merupakan satu model asas dalam mana-mana sistem ekonomi.

Hakikatnya, pekerjaan adalah satu bentuk perkhidmatan yang ditawarkan oleh seseorang individu. Apabila sesebuah syarikat bersetuju memberi pekerjaan kepada individu tersebut, satu transaksi jual beli telah berlaku. Syarikat membeli perkhidmatan individu tersebut dan membayar harga pembelian dalam bentuk gaji.

Berdasarkan model penawaran dan permintaan yang dijelaskan diatas, jika gaji minima adalah terlalu tinggi, maka permintaan terhadap tenaga pekerja akan berkurang kerana kos tenaga pekerja tersebut telah meningkat. Maka, sekiranya gaji minima adalah terlalu tinggi, majikan akan kurang berkemampuan untuk menggaji pekerja baru, dan kadar pengangguran akan meningkat.

Sistem gaji minima juga boleh memberi impak kepada daya saing negara. Sekiranya majikan terpaksa membayar gaji pada kadar yang minima yang tinggi, majikan tersebut terpaksa menampung kos operasi yang lebih tinggi. Ini boleh menyebabkan sesebuah syarikat kehilangan dana untuk pelaburan semula dalam operasi dan perkembangan syarikat. Sekiranya ini berlaku, pengusaha industri kecil dan sederhana pasti akan menjadi mangsa utama kerana mereka biasanya tidak mempunyai sumber kewangan yang terlalu besar untuk menampung peningkatan kos.

Pelabur asing juga mungkin berfikir dua kali untuk melabur di Malaysia kerana terdapat banyak negara membangun lain yang menawarkan kos buruh yang lebih rendah. Kos buruh di China dan India contohnya secara umumnya lebih rendah daripada Malaysia.

Dalam situasi sebegini, sistem gaji minima boleh memberi kesan negatif kepada sesebuah syarikat, dan seterusnya kepada daya saing ekonomi negara. Industri kecil dan sederhana akan menjadi korban utama, manakala pelaburan asing pula mungkin berkurangan.

Oleh kerana gaji minima boleh melahirkan akibat yang tidak dijangka, prinsip asas yang perlu dipegang oleh para penggubal negara ialah, seboleh-bolehnya, sistem gaji mestilah ditentukan oleh kuasa pasaran terbuka dan kerajaan hanya mencampuri urusan pasaran apabila tiada pilihan lain sahaja.

<!--Tiandaocn.org-->