Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.
Tokoh-tokoh politik sertai Malaysia Think Tank
Kuala Lumpur, 16 Februari 2009: Malaysia Think Tank hari ini mengumumkan pembentukan Kumpulan Penasihat Rentas Parti (Cross Party Advisory Group - CPAG) yang dianggotai oleh tokoh-tokoh politik daripada pelbagai parti.
CPAG dianggotai oleh YB Datuk Nur Jazlan Mohamed (UMNO, Ahli Parlimen Pulai), YB Dato' Kamarudin Jaffar (PAS, Ahli Parlimen Tumpat), YB Yusmadi Yusoff (PKR, Ahli Parlimen Balik Pulau), YBhg Sdr Wong Nai Chee (Ahli Jawatankuasa Pusat MCA) dan YM Tunku Aziz Ibrahim (Timbalan Pengerusi DAP). Ahli-ahli CPAG dilantik atas kapasiti individu.
Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata: "Saya bangga menjadi sebahagian daripada Malaysia Think Tank yang akan membentuk pemikiran generasi akan datang di negara kita. Insha-Allah saya cuba berkongsi fikiran mengenai nilai-nilai demokrasi liberal dan juga tanggungjawab yang perlu dipikul setelah datangnya kebebasan dalam rangka kita melahirkan Bangsa Malaysia yang tulin."
Wong Nai Chee menyatakan persetujuan beliau: "keadaan sosial negara kita telah banyak berubah sejak tahun 1957. Cabaran paling besar yang dihadapi oleh negara kita ialah dalam mencipta dasar-dasar yang boleh diterima oleh semua untuk 50 tahun lagi."
Dato' Kamarudin Jaffar mempertegaskan bahawa: "lanskap politik Malaysia sedang berubah dan saya harap Malaysia Think Tank akan boleh memberi sumbangan positif ke arah perubahan tersebut."
Yusmadi Yusoff mengulas: "model rentas parti yang digunapakai oleh Malaysia Think Tank merupakan satu model berani. Saya akan cuba membantu sebaik mungkin pertubuhan yang bercita-cita tinggi ini ke arah memperkukuh demokrasi di negara kita."
Tunku Aziz, bekas timbalan pengerusi Transparency International,berkata: "Dalam usaha kita membentuk identiti nasional sebagai sebuah negara yang adil dan prihatin, tidak mungkin kita akan menemui pengganti bagi prinsip, falsafah dan nilai-nilai demokratik yang sejati."
Tunku 'Abidin Muhriz, Pengarah Malaysia Think Tank, berkata: "Dengan pengumuman ini kami berharap untuk membuktikan bahawa perbahasan yang matang mengenai dasar dan idea dapat dijalankan secara aman dan konstruktif. Semua parti-parti politik yang dianggotai oleh tokoh-tokoh ini telah memberi sumbangan besar kepada negara sejak Merdeka lagi. Pastinya mereka akan terus memberikan sumbangan yang terbaik dan persaingan antara mereka akan menentukan halatuju Malaysia. Kami yakin Malaysia Think Tank akan mendapat manfaat daripada perbicangan mereka terutamanya melalu CPAG."
Ketua Pengarah Malaysia Think Tank, Wan Saiful Wan Jan, berkata: "Tokoh-tokoh ini membawa kepada Malaysia Think Tank pengalaman bina negara yang berdekad-dekad lamanya. Saya terharu kerana mereka sudi membantu kami. Sebagai sebuah organisasi, MTT tidak bercakap mewakili mana-mana tokoh-tokoh ini. Memang terdapat perbezaan dan kami sedar bahawa mereka merupakan tokoh-tokoh yang disegani yang akan terus berkhidmat untuk parti masing-masing demi untuk negara. Kami akan meminta nasihat mereka untuk melahirkan idea-idea yang boleh membantu menjadikan Malaysia lebih maju dan harmoni."

