Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.

Perak: akan hilangkah peluang keemasan?


oleh Wan Saiful Wan Jan

5 Februari 2009

Akhirnya berjaya juga pembangkang merampas kuasa melalui lompat parti. Sekiranya inilah yang dihajatkan oleh sesetengah pihak, maka ucapkanlah Alhamdulillah kerana doa anda telah termakbul. Melompat parti adalah perkara biasa dalam demokrasi dan ia tidak salah. Tetapi nampaknya mereka yang beriya-iya mendokong idea bahawa melompat parti itu tidak salah kini ada yang telah bertukar angin.

Baru kelmarin seorang rakan mengatakan bahawa DYMM Sultan Azlan Shah merupakan seorang Sultan yang adil dan bijaksana. Pasti Baginda akan membuat keputusan yang paling adil. Tetapi sebaik sahaja Baginda Sultan bertitah bahawa Baginda tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri, rakan saya tersebut terus berubah fikiran. Sultan Azlan kini dituduh sebagai tidak berprinsip kerana bertitah tidak sama dengan apa yang Baginda tulis dalam buku Baginda sendiri beberapa tahun lalu. Malahan, dia mula bertanya apa relevannya institusi Raja dalam sebuah negara demokratik.

Seorang lagi rakan yang menyokong kuat Pakatan rakyat pernah berkata bahawa PAS hanya akan menang jika terus istiqamah bersama-sama Parti Keadilan Rakyat dan DAP. Kalau berpecah, atau kalau PAS menyertai Barisan Nasional, maka masa depan politik PAS pun akan turut tamat. Tapi sebentar tadi dia amat marah kepada PKR dan DAP. Khianat, tak boleh dipercayai dan tidak berprinsip, tuduhnya. Dia menyambung bahawa lebih baik kalau PAS berpakat dengan UMNO sahaja, seperti yang dikehendaki oleh beberapa pemimpin PAS tidak lama dulu.

Mudah sekali pandangan berubah. Apatah lagi dalam kepanasan yang melanda Perak. Mereka yang dahulunya mengatakan tidak salah melompat parti kini mendakwa lompat parti tidak bermoral. Mereka yang dahulunya memuji institusi Raja kini mula mempersoalkannya. Mereka yang mahukan Pakatan Rakyat diperkukuhkan kini mula tidak yakin dengan kesetiaan parti-parti lain.

Lompat parti tidak salah

Saya masih berpegang dengan prinsip bahawa lompat parti adalah halal dalam sistem demokrasi. Jika wakil rakyat Pakatan Rakyat Perak telah melompat ke Barisan Nasional sehingga menghilangkan majoriti Pakatan Rakyat, maka selayaknyalah Barisan Nasional membentuk kerajaan baru. Undang-undang anti-lompat, seperti yang diamalkan di negara India, tidak diperlukan dalam negara kita.

Tetapi saya kecewa kerana para pemimpin politik kita terlalu gelojoh untuk memegang tampuk kuasa. Seolah-olah mereka tidak menghiraukan langsung peluang keemasan untuk mencipta budaya baru sebagai pembangkang yang sihat dan kuat.

Politik negara kita akan jauh lebih baik jika parti-parti pembangkang berusaha membentuk kabinet bayangan dan berkempen dengan cara memperkenalkan polisi-polisi tersendiri untuk menyaingi parti pemerintah.

Sejak tsunami politik yang melanda negara pada 8 Mac lalu, para pemimpin politik kita tidak habis habis bercakap mengenai mengambil alih kuasa pemerintahan. Barisan Nasional sebagai pembangkang di Perak, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor seolah-olah tidak mahu berusaha menjadi pembangkang yang mantap. Mereka tidak membentuk exco negeri bayangan yang lengkap dengan bidang tugas yang benar-benar tersusun.

Pakatan Rakyat juga sama sahaja, baik di peringkat pusat mahupun negeri. Mereka sejak awal lagi mengisytiharkan mahu mengambil alih Putrajaya melalui lompat parti dan fokus mereka ialah mengambil alih kuasa pemerintahan.

Perkukuhkan institusi pembangkang

Alangkah baiknya jika Barisan Nasional Perak, Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang menumpukan usaha mereka untuk menjadi barisan pembangkang yang kuat.

Dan alangkah baiknya juga jika Pakatan Rakyat di peringkat pusat dan negeri menumpukan usaha mereka untuk membentuk kabinet bayangan yang tersusun.

Apa yang berlaku di Perak merupakan petanda awal bahawa peluang keemasan untuk memperkukuh dan memperkasa institusi pembangkang mungkin akan hilang. Apa tidaknya. Semua ahli politik hanya memikirkan bagaimana untuk berkuasa, tanpa mahu menjadi pembangkang yang efektif.

Bagi Barisan Nasional, pertukaran kerajaan negeri Perak ialah kemuncak kegagalan mereka untuk mencipta budaya pembangkang yang sihat.

Bagi Pakatan Rakyat pula, kegagalan mereka sehingga hari ini untuk membentuk kabinet bayangan membuatkan saya tertanya-tanya adakah mereka benar-benar boleh memerintah Malaysia satu hari nanti.

Saya menyeru parti-parti pemerintah, baik di peringkat negeri mahupun pusat, untuk sama-sama berusaha memperkasa institusi pembangkang.

Tanggungjawab membentuk institusi pembangkang yang sihat bukan terpundak di bahu parti pembangkang sahaja. Parti-parti yang memerintah mempunyai tanggungjawab yang sama besar dalam memperkasa institusi pembangkaang negara kita. Pembangkang yang sihat dan kuat akan memastikan negeri dan negara ditadbir dengan baik. Bukankah matlamat mana-mana parti pun, sepatutnya, ialah untuk mentadbir dengan baik demi kebaikan rakyat?

Parti-parti yang memerintah di setiap negeri, dan juga di peringkat pusat, baik daripada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, perlu memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada institusi pembangkang.

Jawatan Ketua Pembangkang Negeri dan Ketua Pembangkang di Parlimen perlu diiktiraf dan diberi penghormatan yang sewajarnya. Wakil rakyat pembangkang perlu diberi peruntukan yang cukup untuk membolehkan mereka membentuk barisan exco bayangan di peringkat negeri dan kabinet bayangan di peringkat pusat. Dan wakil-wakil rakyat pembangkang juga perlu mendapat peruntukan secukupnya untuk membolehkan mereka menggaji penyelidik-penyelidik tersendiri dalam rangka membolehkan mereka menjadi pembangkang yang efektif.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memulakan langkah yang amat baik dalam hal ini. Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiusaha Agung DAP telah memulakan langkah penting dalam mengiktiraf peranan Ketua Pembangkang Negeri. Pulau Pinang perlu meneruskan usaha murni ini, dan negeri-negeri lain perlu mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Pulau Pinang.

Jangan biarkan rakyat merasa bosan dengan politik dan ahli politik. Baik Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional, tumpukanlah kepada pemerkasaan sistem pemerintahan, termasuk pengukuhan institusi pembangkang, di peringkat negeri dan negara.

----

Wan Saiful Wan Jan ialah Editor www.WauBebas.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank.

<!--Tiandaocn.org-->