Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.
Jangan teruskan agenda perkauman
Oleh: Wan Saiful Wan Jan
31 Januari 2009
Saya turut serta dalam sesi penerangan yang ditaja oleh Baroness Verma, Menteri dalam Kabinet bayangan Britain, di bangunan parlimen di London, pada 8 Disember lepas. Penganjuran sesi tersebut dibantu oleh Waytha Moorthy, pengerusi HINDRAF yang kini tinggal di London.
Saya memang telah beberapa kali bertemu dengan Waytha Moorthy. Secara terbuka saya boleh katakan bahawa saya memang bersimpati dengan matlamat dan usaha beliau walaupun saya tidak bersetuju dengan strategi yang beliau pilih. Memang benar ramai rakyat Malaysia berketurunan India yang memerlukan bantuan, tetapi saya yakin bahawa mereka, malahan rakyat Malaysia keseluruhannya, tidak perlu terlalu bergantung kepada campurtangan kerajaan. Tetapi itu bukan perkara yang mahu bincarakan kali ini.
Sesi penerangan tersebut dimulakan dengan pembentangan oleh K Kabilan, editor Malaysiakini. Beliau menceritakan mengenai nasib pekerja-pekerja estet di Malaysia yang kebanyakannya berbangsa India. Kajian yang dilakukan oleh beliau menunjukan betapa para pekerja estet amat memerlukan bantuan dan pembelaan. Ada yang dilayan seperti hamba, dipukul, dirogol dan didera, malahan dijual dari satu ladang ke ladang yang lain. Rumah yang mereka diami amat daif. Ada juga yang tidak mempunytai sijil kelahiran atau kad pengenalan, bukan kerana mereka tidak peduli, tetapi kerana mereka tidak dibenarkan keluar daripada estet untuk menguruskan pendaftaran oleh majikan yang kejam.
Anak-anak pekerja ladang tidak mendapat pendidikan yang sempurna kerana sekolah yang amat daif dan ibu bapa yang terpaksa bekerja daripada jam 4 pagi tidak mempunyai masa untuk menghantar anak-anak ke sekolah sepenuhnya. Akibatnya mereka terperangkap dalam satu kitaran yang membelenggu – ibu bapa yang tidak berpelajaran tidak mampu menghantar anak-anak untuk mendapat pengajian, lantas anak-anak tersebut membesar sama seperti ibu bapa mereka yang tidak mampu keluar daripada perhambaan di estet-estet getah dan kelapa sawit.
Tricia Yeoh, rakan saya yang merupakan pengarah Centre for Public Policy Studies, kemudian menerangkan mengenai marginalisasi ekonomi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berketurunan India. Tricia menerangkan bagaimana sewaktu etnik India mula-mula didatangkan ke Malaya, mereka ditempatkan di ladang-ladang untuk bekerja sebagai buruh kasar. Walaupun tuan punya ladang-ladang tersebut biasanya menyediakan prasarana yang minima sahaja, kemudahan yang diberikan, dan juga isolasi yang dipaksa ke atas mereka, mewujudkan kebergantungan yang hampir total kepada majikan.
Proses industrialisasi pula menyebabkan banyak ladang yang diambil alih untuk dijadikan kawasan industri. Ini menyebabkan ribuan pekerja estet hilang tempat tinggal dan pekerjaan, lantas mereka tidak mempunyai pilihan selain daripada menjadi setinggan atau pengemis. Keadaan menjadi lebih buruk akibat kegagalan parti MIC yang sepatutnya membela nasib etnik India di Malaysia.
Pembentangan diteruskan oleh Ishani Choudry daripada Hindu American Foundation. Ishani merupakan satu-satunya pembentang yang bukan daripada Malaysia. Pembentangan beliau saya rasakan amat berbeza daripada apa yang diutarakan oleh Kabilan dan Tricia. Ishani berhujah bahawa Malaysia telah sekian lama berusaha mengimbangi antara sekularisme dan Islam, dan sejak kebelakangan ini pengaruh Islam semakin merebak di negara kita. Mahkamah sivil semakin banyak menyerahkan kuasa kepada mahkamah shariah dan akibatnya rakyat bukan Islam merasa ditindas. Banyak kuil-kuil Hindu yang dirobohkan oleh pemerintah, dan tidak mudah untuk penganut agama Hindu mendaftarkan kuil baru. Ishani menyatakan bahawa suasana di Malaysia begitu mencengkam sehingga ada warga Malaysia bergama Hindu yang terpaksa berhijrah ke negara lain. Beliau turut menyebut contoh-contoh lain seperti penahanan 5 orang aktivis HINDRAF di bawah ISA, fatwa mengenai yoga dan juga kes-kes berkaitan pertukaran agama.
Saya berasa tidak selesa semasa pembentangan Ishani. Nada yang beliau gunakan amat berbeza dengan Kabilan dan Tricia. Bagi saya, kandungan pembentangan Ishani hampir sama dengan nada perkauman dan keagamaan yang biasanya dibangkitkan oleh ahli-ahli politik Malaysia.
Mujurlah ucapan Waytha Moorthy amat rasional. Setakat saya mengenali beliau, Moorthy memang seorang yang tenang dan boleh dibawa berbincang. Selain daripada memperkenalkan HINDRAF kepada hadirin yang turut terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan Hindu di United Kingdom, Moorthy menayangkan video perobohan kuil di Malaysia dan bagaimana pihak berkuasa menggunakan strategi agar penguatkuasa berbangsa India juga yang dikerah menjadi barisan hadapan dalam merobohkan kuil-kuil Hindu. Moorthy turut menceritakan betapa penganut Hindu yang cuba mempertahankan kuil mereka diperlakukan dengan kasar oleh pihak berkuasa.
Bagi saya sesi penerangan tersebut menunjukan betapa wujudnya kekeliruan mengenai agama dan bangsa. Kabilan, Tricia dan Moorthy bercakap mengenai isolasi dan marginalisasi yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berketurunan India yang merupakan minoriti di negara kita. Tetapi Ishani, dan beberapa orang yang bertanya soalan, mengaitkan masalah-masalah tersebut dengan penzaliman terhadap penganut agama Hindu. Kadang kala ada yang mencampur adukkan perbincangan seolah-olah kaum India dan penganut Hindu adalah satu. Ini tidak banyak bezanya dengan perbicangan mengenai Islam dan Melayu. Pencampuran antara keagamaan dan perkauman memang ketara, sehingga ada yang tidak sedar bahawa dua perkara tersebut adalah berbeza.
Namun demikian, sama ada yang dizalimi adalah bangsa India atau penganut Hindu, atau bangsa Melayu atau Muslim, bagi saya adalah tidak relevan sama sekali.
Negara kita sedang menuju ke arah sebuah Malaysia yang baru. Terdapat suara-suara dalam Barisan Nasional mencadangkan supaya Barisan Nasional dijadikan satu parti berbilang bangsa, bukan lagi sebuah gandingan parti-parti berteraskan etnik. Parti Keadilan Rakyat pula memang sejak awal lagi merupakan sebuah parti yang tidak berteraskan bangsa atau agama. PAS telah membuka pintu kepada mereka yang bukan Muslim, dan DAP juga semakin gigih berusaha membuang imej parti Cina. Semua ini menunjukkan terdapat kemahuan untuk meninggalkan agenda perkauman dan keagamaan.
Memang sewajarnya kita mengambil langkah berani untuk mengenepikan agenda-agenda yang memecah belahkan negara. Jika kita mahukan sebuah Malaysia yang benar-benar baru, maka agenda perubahan juga mestilah satu agenda baru. Jangan pula kita biarkan perubahan yang kita impikan menjadi tidak lebih daripada perubahan parti politik, tetapi sebenarnya meneruskan agenda perkauman dan kegamaan yang sekian lama menghantui Malaysia.
--------
Wan Saiful Wan Jan ialah Editor WauBebas.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank (www.WauBebas.org)

