Individu merdeka. Pasaran bebas.
Kerajaan terhad. Kedaulatan undang-undang.
Datuk Zaid Ibrahim sertai Lembaga Penasihat Malaysia Think Tank
Datuk Zaid Ibrahim hari ini diumumkan sebagai ahli terbaru Lembaga Penasihat Malaysia Think Tank.
Datuk Zaid Ibrahim merupakan seorang peguam ternama. Firma guaman yang beliau tubuhkan pada tahun 1987 kini merupakan antara yang paling berjaya di Malaysia. Beliau dipilih sebagai sebagai ahli parlimen pada tahun 2004. Walaupun beliau tidak bertanding dalam pilihanraya 8 Mac 2008, Datuk Zaid telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan seterusnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap sistem perundangan dan reformasi institusi kehakiman. Datuk Zaid meletakkan jawatan enam bulan kemudian setelah kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap tiga rakyat awam. Pada bulan Oktober 2008 beliau menubuhkan MyFuture Foundation yang bertujuan untuk menggalakkan generasi muda daripada pelbagai kaum di Malaysia mempelajari budaya satu sama lain dan juga membina hubungan baik yang merentas batasan bangsa dan agama.
Mengulas perlantikan beliau, Datuk Zaid berkata:
“Saya gembira dengan peluang untuk membantu Malaysia Think Tank. Para penggerak Malaysia Think Tank merupakan aktivis-aktivis muda yang iltizam dengan usaha memperkukuh demokrasi liberal di negara kita mengikut kerangka Perlembagaan dan juga berteraskan visi para pejuang kemerdekaan yang awal. Malaysia Think Tank merupakan organisasi yang unik dan saya akan cuba membantu sebanyak yang mungkin.”
‘Abidin Muhriz, pengarah Malaysia Think Tank berkata:
“Kami amat gembira dengan penyertaan Datuk Zaid. Beliau merupakan pengamal undang-undang yang tersohor di negara kita dan pengalaman beliau dalam kerajaan pasti menjadi aset yang berharga untuk kami dalam menyampaikan buah fikiran kepada para pembuat dasar. Datuk Zaid tidak teragak-agak untuk menyuarakan pandangan beliau dalam banyak hal. Saya yakin MTT akan menjadi lebih kukuh dengan kehadiran beliau.”

